MENU

Pada awal tahun 50-an, Kuala Lumpur telah mengalami kesesakan akibat pertambahan  penduduk yang terlalu pesat dan banyak setinggan wujud di kawasan  pinggir Kuala Lumpur. Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan Negeri Selangor telah mengenalpasti "Effingham Estate" iaitu tanah kebun getah seluas 1,200 ekar di Jalan Klang Lama bagi mewujudkan sebuah penemapatan baru yang dikenali Petaling Jaya.

Pihak yang diberi kepercayaan untuk mengurus tadbir penempatan baru ini diserahkan kepada Pegawai Daerah Kuala Lumpur dan Lembaga Petaling Jaya sebelum diambil alih oleh sebuah badan berkanun iaitu Petaling Jaya Authority pada penghujung tahun 1954.

Petaling Jaya melakar sejarah baru pada 1 Januari 1964 apabila Negeri Selangor mewartakan sebuah Lembaga Bandaran yang memiliki autonomi kewangan untuk mentadbir bandar ini.

Pada 1 Januari 1977, Lembaga Bandaran Petaling Jaya telah dinaikkan tarafnya kepada Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) berikutan penggubalan Akta Kerajaan Tempatan 1976 oleh kerajaan. Pada 20 Jun 2006, Majlis Perbandaran Petaling Jaya telah dinaik taraf sebagai Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Kini kawasan pentadbiran MBPJ berkeluasan 97.2 kilometer persegi, kian pesat membangun. Petaling Jaya mempunyai jumlah penduduk lebih 619,925 orang dan bilangan pegangan harta sebanyak 217,930. Petaling Jaya kini dikenali sebagai pusat pertumbuhan yang terunggul di Negeri Selangor.

Pentadbiran Majlis terdiri daripada 25 orang Ahli Majlis dan diketuai oleh seorang Datuk Bandar. Ahli Majlis adalah dilantik oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor. Datuk Bandar adalah seorang pegawai Kerajaan Persekutuan yang dilantik oleh pentadbiran negeri selepas mendapat persetujuan Menteri Besar. Datuk Bandar bertugas sepenuh masa dibantu oleh seorang Timbalan Datuk Bandar dan Ketua-ketua Jabatan dalam menetapkan dan melaksanakan visi, misi, dasar kualiti, objektif dan aktiviti Majlis. Majlis meluluskan draf undang-undang Majlis dan membentuk polisi-polisi untuk dilaksanakan oleh jabatan.

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 26 Mei 2017 - 3:38pm