MENU

Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 digubal dengan objektif untuk mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam dan untuk memberi peluang kepada setiap individu untuk mengakses maklumat yang dibuat oleh Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri melalui permohonan yang dikemukakan kepada Jabatan yang berkenaan. Enakmen ini telah diwartakan pada 25 Ogos 2011 dan berkuatkuasa mulai 5 Mac 2013 sebagaimana perkenan DYMM Sultan Selangor. Turut berkuatkuasa pada tarikh yang sama ialah dua (2) undang-undang subsidiari yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi menyokong peruntukan-peruntukan Enakmen ini, iaitu Peraturan-Peraturan Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) (Akses Kepada Maklumat) 2012 dan Kaedah-Kaedah Badan Maklumat Negeri (Negeri Selangor) 2012.

Mana-mana orang awam dan organisasi luar yang ingin mendapatkan sebarang maklumat daripada mana-mana Jabatan Kerajaan Negeri boleh berbuat demikian dengan mematuhi prosedur-prosedur berikut:-

i. Mengisi dan melengkapkan Borang Permohonan Untuk Mendapatkan Maklumat seperti yang dilampirkan di bawah;
ii. Mengemukakan Borang Permohonan Untuk Mendapatkan Maklumat yang telah lengkap diisi secara serahan tangan kepada Jabatan yang berkenaan bersama-sama bayaran RM12.00 (Ringgit Malaysia : Dua Belas Sahaja) iaitu RM2 untuk fi permohonan dan RM10 untuk deposit fi pemprosesan yang tidak akan dikembalikan;
iii. Pegawai Maklumat yang dilantik bagi setiap Jabatan (sebagaimana Senarai Pegawai Maklumat di bawah) akan memproses permohonan yang dikemukakan dan akan memberikan maklum balas kepada permohonan dalam tempoh masa 30 hari dari tarikh akuan penerimaan permohonan bagi permohonan biasa atau dalam tempoh masa tujuh (7) hari dari  tarikh akuan penerimaan permohonan sekiranya permohonan itu melibatkan nyawa atau kebebasan individu; dan
iv. Sekiranya permohonan diluluskan, pemohon perlu membayar baki fi pemprosesan (sekiranya perlu) dan akan menerima akses kepada maklumat yang dipohon mengikut cara akses yang bersesuaian; dan
v. Sekiranya permohonan ditolak, pemohon boleh mengemukakan rayuan kepada Badan Maklumat Negeri dalam tempoh masa 21 hari dari tarikh penerimaan keputusan.

Sekiranya memerlukan sebarang maklumat atau bantuan berhubung perkara ini, sila berhubung dengan pegawai di Jabatan Khidmat Pengurusan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya di talian 03-79563544 atau e-mel sunitasaad@mbpj.gov.my atau haslida@mbpj.gov.my

(Sila rujuk Garis Panduan Pelaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 seperti dilampirkan di bawah untuk informasi lanjut)

Kemaskini Terakhir: Khamis, 16 November 2017 - 2:30pm