Sejarah

img  img

Petaling Jaya, bandar baru yang terulung sekali di Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1952. Tanah seluas 3,600 ekar telah dikhaskan untuk pembangunan sebuah bandar baru. Apabila Petaling Jaya mula menunjukkan kemajuan mendadak pada tahun 1954 melalui Ordinan No. 36, Petaling Jaya Authority (dan kemudiannya dikenali dengan Perbadanan Kemajuan Petaling Jaya) telah ditubuhkan dengan tujuan memajukan sebuah bandar satelit.

Petaling Jaya melakar sejarah baru pada 1 Jan 1964 apabila Negeri Selangor mewartakan sebuah Lembaga Bandaran yang memiliki autonomi kewangan untuk mentadbir bandar ini.

Pada 1 Jan 1977, Lembaga Bandaran Petaling Jaya telah dinaikkan tarafnya kepada Majlis Perbandaran Petaling Jaya(MPPJ) berikutan penggubalan Akta Kerajaan Tempatan 1976 oleh kerajaan. Pada 20 Jun 2006, Majlis Perbandaran Petaling Jaya telah dinaik taraf sebagai Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Kini kawasan pentadbiran MBPJ berkeluasan 97.2km persegi kian pesat membangun. Petaling Jaya mempunyai jumlah penduduk lebih 619, 925 orang dan bilangan pegangan harta sebanyak 217, 930. Petaling Jaya kini dikenali sebagai pusat pertumbuhan yang terunggul di Negeri Selangor.

Pentadbiran Majlis terdiri daripada 25 orang Ahli Majlis dan diketuai oleh seorang Datuk Bandar. Ahli Majlis adalah dilantik oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor. Datuk Bandar adalah seorang pegawai Kerajaan Persekutuan yang dilantik oleh pentadbiran negeri selepas mendapat persetujuan Menteri Besar. Datuk Bandar bertugas sepenuh masa dibantu oleh seorang Timbalan Datuk Bandar dan Ketua-ketua Jabatan dalam menetapkan dan melaksanakan visi, misi, dasar kualiti, objektif dan aktiviti Majlis. Majlis meluluskan draf undang-undang Majlis dan membentuk polisi-polisi untuk dilaksanakan oleh Jabatan.

Tarikh Akhir Dikemaskini : 01 April 2013