Pada awal tahun 50an, Kuala Lumpur
telah mengalami kesesakan akibat pertambahan penduduk yang terlalu pesat dan banyak
setinggan wujud di kawasan pinggir Kuala Lumpur. Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan
Negeri Selangor telah mengenalpasti tanah kebun getah seluas 1,200 ekar di Jalan
Klang Lama bagi mewujudkan sebuah petempatan baru atau kawasan petempatan bagi
mengatasi kesesakan serta mengatasi masalah setinggan yang wujud. Penempatan yang
terletak di Daerah Petaling ini telah dinamakan sebagai Petaling Jaya bagi menggambarkan
harapan perancangan semoga penempatan ini menjadi sebuah pekan yang berjaya.
Pada
awal penubuhannya Petaling Jaya memberi keutamaan kepada kerja-kerja pembangunan.
Pihak berkuasa telah berusaha menggalakkan pembukaan kawasan-kawasan perindustrian
dan kemudahan-kemudahan awam. Pembangunan Petaling Jaya bermula di pekan “Old
Town” dengan pembinaan deretan rumah-rumah kedai, balairaya, panggung wayang,
stesen bas dan lain-lain. Jalan “1” (satu) yang sekarang
dipanggil Jalan Templer merupakan jalanraya pertama yang dibina di Petaling Jaya.
Sehingga akhir tahun 1954, Petaling Jaya diurustadbir oleh Pegawai Daerah
Kuala Lumpur dan Lembaga Bandaran Petaling Jaya. Kuasa pentadbiran bandar Petaling
Jaya kemudiannya diserahkan kepada sebuah Badan Berkanun iaitu Petaling Jaya Authority.
1hb Januari 1964, merupakan satu detik bersejarah bagi Petaling Jaya kerana melalui
Warta Kerajaan Negeri Selangor G.N Bil 2/1964 sebuah Lembaga Bandaran yang mempunyai
‘Autonomi Kewangan’ telah ditubuhkan untuk mentadbir bandar Petaling Jaya.
Ianya
telah menjadi perangsang kepada Lembaga untuk merancang dan membangunkan Petaling
Jaya selaras dengan dasar liberal Kerajaan terhadap pembangunan. Dalam tempoh
2 dekad Petaling Jaya telah menjadi sebuah bandar satelit yang paling kaya dan
terbesar di negeri ini. Sebagai sebuah bandar yang pertama dirancang dalam Malaysia
ini, Petaling Jaya telahpun mencapai kejayaan yang cemerlang, sesuai dengan nama
‘JAYA’ dan sentiasa sibuk dengan aktiviti-aktiviti serta megah dengan kejayaannya.
Petaling Jaya telah menjadi sebuah kawasan perindustrian yang terkemuka di dalam
negara dan membangun dengan caranya yang tersendiri.
Pada 1 Januari 1977,
Lembaga Bandaran Petaling Jaya telah dinaikkan tarafnya kepada Majlis Perbandaran
Petaling Jaya (MPPJ) berikutan penggubalan Akta Kerajaan Tempatan 1976 oleh kerajaan. Kawasan SS (seksyen bernombor di daerah Sg Way / Subang) bersama-sama dengan kawasan
baru seperti Subang Jaya, Seksyen 52 (Newtown) telah disatukan untuk membentuk
satu perbandaran tunggal di bawah MPPJ.
Daripada sebuah bandar yang dirancang
sebagai Bandar Kecil bagi menampung kesesakan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya telah
menjadi satu Bandar yang Maju. Di dalam mengejar arus pemodenan dan
pembangunan pada masa itu, penduduk telah mengambil bahagian dalam perdagangan
dan perusahaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka. |